Follow Me @noorshafila

Sunday, December 20, 2009

Kelahiran Alisha Adnain

December 20, 2009 0 Comments
Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana aku telah selamat melahirkan puteri sulungku Alisha Adnain Binti Mohd Razaleigh di Hospital Putrajaya pada tepat pukul 1 tengah hari dengan berat 2.47kg dan 47cm panjang secara normal dan tanpa epideural.



Syukur juga kepada Allah kerana mengabulkan doaku untuk menunggu cik suami pulang dahulu sebelum bersalin. Cik suami pulang pada pagi 9 Disember dan Alisha pula lahirpada 10 Disember.

Bercerita tentang pengalaman bersalin, aku mula terasa sakit kontraksi seawal jam satu pagi. Melihat cik suami tidur terlalu lena, kasihan pula untuk mengejutkannya. Aku masih cuba menahan sakit yang datang selang 10 minit. Pukul 6 pagi, cik suami terjaga dan aku mengajaknya untuk pulang ke Puchong, memandangkan malam itu kami tidur di Shah Alam. Rasa hati tidak mahu bagitau sesiapa tapi cik suami sudah pun buka mulut pada mak. Apa lagi, kelam kabut lah mak. Pukul 7.30 pagi, aku, cik suami dan mak bergegas balik ke Puchong untuk mengambil beg barangan baby dan aku sendiri. Sampai di Hospital Putrajaya, nurse mengambil bacaan degup jantung baby, pergerakan baby dan kekerapan kontraksi. Pukul 10 pagi, bukaan dah 5 cm. Disebabkan aku datang tanpa tanda show/ pecah ketuban, doktor memecahkan air ketuban dan masuk ke LR 5 pukul 10.30. Dan Alisha Adnain lahir ke dunia tepat pukul 1 petang. Seketika kemudian, azan zohor berkumandang kedengaran. InsyaAllah, semoga Alisah menjadi anak yang solehah, taat kepada ibubapa dan beriman kepada Allah.

Hari ini, genap 10 hari usia Alisha, berat badannya sudah naik ke 2.9kg. Dari pemerhatian lawatan jururawat desa, Alisha sihat saja, tiada demam kuning. Semoga aku dapat terus membekalkan susu badan kepada Alisha.




KATA HATI AKU: Perasaan menjadi seorang ibu sungguh indah sekali. Melihat bayi yang dikandung selama 9 bulan berada di dalam dakapan merupakan satu pengalaman yang amat berharga. Terima kasih abang. Alisha Adnain merupakan hadiah ulang tahun perkahwinan pertama kita yang paling berharga.

hachi

Wednesday, December 02, 2009

December 02, 2009 0 Comments
Minggu ni dah 38 minggu. Pewot dah rasa berat sgt. Check up semalam semuanya ok.

BP: 100/60
Berat: Still the same as last week, 68.5kg. Kalau tak de perubahan sampai bersalin nanti, total weight gain = 10kg
Urine: Clear - minggu lepas ada UTI (terpaksa minum air masam + antibiotik again - kali ketiga aku kena UTI)
Baby: So far so good, baby dah turun bawah kata doktor :)

So, sementara tunggu bersalin ni just cont with obimin dan kalsium tablet (aku dah tak lalu minum susu lagi).



KATA HATI AKU: "Ibu dah ready nak tunggu baby keluar ni"

hachi

Tuesday, November 24, 2009

November 24, 2009 1 Comments
Hari ini dah masuk 37 minggu usia kandunganku. Oh anakku sayang.... ibu dan abah semakin tidak sabar untuk menanti kelahiranmu. Kerana kau lah anugerah Allah yang terindah dalam hidup ibu dan abah.

Raya haji kali ni, aku tidak pulang ke kampung. Mak dan abah dari awal lagi berpesan agar aku sambut raya haji di Shah Alam (rumah ibu saudara) sahaja. Cik suami pula akan beraya di Miri. Sedih juga sebab tak dapat raya bersama. Tapi, tidak mengapalah kerana sekurang-kurangnya, dia dapat bercuti panjang sikit untuk menyambut kelahiran anak kami nanti. A***, kita sama-sama tunggu abah balik ye.

KATA HATI AKU: TINDU ngan cik suami.

hachi

Saturday, November 07, 2009

November 07, 2009 0 Comments
Rasa letih semakin menghambat diri. Bagaikan tidak terdaya untuk melakukan apa2 lagi sebaik pulang dari kerja. Tetapi... aku cuba untuk menguatkan semangat bila terasa akan gerakan anakku di dalam kandungan. Hati ibu menjadi riang tatkala melihat perut ibu berombak kerana pergerakanmu. Sabarlah wahai anak, tinggal beberapa minggu sahaja lagi untukmu wahai anak berada di dalam rahim ibu yang makin sempit. Percayalah, ibu dan abah benar2 tidak sabar untuk bertemu denganmu wahai anak.



KATA HATI AKU: Rindu sangat pada cik suami.

hachi

Sunday, November 01, 2009

Cerita kosong je...

November 01, 2009 0 Comments
Cerita 2 minggu ni.....

Rindu sangat2 kat Cik Razaleigh

Happy sangat sebab dapat spend masa bersama-sama cik suami yang bercuti seminggu. Yang bestnya, dapat melepaskan rindu menjamah masakan cik suami. "Terima kasih abg encem".
Dan seperti biasa, aku masih lagi menangis bila hantar cik suami ke airport. Benci betul bila kena berpisah.
Sejak dia balik ke Miri selepas bercuti,cik suami aku ni makin sibuk. Macam2 programnya. Bila malam je dah kepenatan. Jadi masa sembang dah jadi pendek. Huhuhuhu....rasa tak puas bila dapat bersembang.

Babyku dah nak masuk 34 minggu

Kali ni dah confirm gender babyku. Hehehe.. rupa2nya dia nak tunjuk kat abah dia. Berat kasarnya pun dah mencecah 1.8kg. Alhamdulillah setakat ni, cuma aku kena kencing kotor balik. Kenalah ambil antibiotik dan air masam tu balik.
Aku pun dah booking tempat untuk bersalin di Hospital Putrajaya.



KATA HATI AKU: Tinggal 6 minggu lagi untuk menanti kelahiran bayiku. Macam2 perasaan ada dalam hati ni.

hachi

Monday, October 19, 2009

Mmmm....

October 19, 2009 0 Comments
Salam buat semua sebagai pembuka bicara.

Alhamdulillah, hari ini genap 32 minggu usia kandunganku. Bayiku sudah semakin aktif menendang dan bergerak. Minggu lepas, beratnya sudah mencecah 1.5kg dan aku sendiri sudah menjangkau 65kg. Menurut doktor, semuanya ok. InsyaAllah, aku doakan semoga segalanya berjalan dengan lancar dan selamat sehingga bayiku ini selamat dilahirkan.

Kebelakangan ini, aku mengalami kesukaran untuk tidur. Alahai anakku, disaat ibu baru hendak melelapkan mata, anak ibu ini semakin aktif. Mengiring ke kiri dan ke kanan tidak boleh, apatah lagi hendak menelentang. Pernah sehingga jam 2 pagi dia masih lagi aktif. Tidak mengapalah, sekurang2nya ibu tahu yang anak ibu ini sihat berada di dalam kandungan ibu.

Dalam pada itu, debaran menanti kelahiran semakin terasa. Kadang2 terfikir, mampukan aku memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu nanti, tambahan pula cik suami jauh di sana. Mmmmm......

Malam esok, flight Cik Razaleigh dari Miri akan tiba pukul 11.45 malam. Tak sabar nak menanti hari esok untuk bertemu dengan cik suami yang selalu aku rindui ini.

KATA HATI AKU: Semakin benci dengan sikap sesetengah orang yang terlalu membangga diri. Berlagak yang dirinya terlalu sempurna dan suka membanding2kan setiap perkara. Alahai manusia.... sedarlah diri.

hachi

Sunday, October 04, 2009

Gambar Raya

October 04, 2009 0 Comments
Baru hari ni aku tersedar, aku dan cik suami tak ambil gambar sangat masa Aidilfitri yang lalu. Kenapa ye? Yang ada pun hanya dari hp sahaja.



p/s: cik suami balik kali ni nampak gelap sgt.


hachi

Saturday, October 03, 2009

Senandung aku yang tak berapa menjadi...

October 03, 2009 0 Comments
Syawal sudah dua minggu berlalu,
Kali pertama menyambutnya dengan cik suami,
Alhamdulillah, kami bergembira bersama,
Walaupun badan penat,
Dari Puchong - Gerik - Keratong - Puchong,
Macam around the world pulak,
Namun keriangan hari raya bersemadi dihati.

Cik suami pun dah kembali ke Miri,
Kenapa airmata ini tak jemu-jemu keluar tatkala berpisah?
Rasa tak sabar menanti kepulangannya lagi,
Kerna belum puas lagi melepaskan rasa rindu,
Oh hati... bersabarlah,
Kucuba untuk memujuk hati ini.

Hehehe... apa yang aku bebelkan ini.

Buat anakku yang semakin membesar di dalam kandungan,
Ibu dan abah tak sabar menanti kehadiranmu,
Alhamdulillah, check up yang lepas anak ibu ini sudah pun 1.22kg,
Makin lasak di dalam kandungan ibu,
Anak ibu membesar dengan sihat ye.


KATA HATI AKU: Rindu sangat pada cik suami.

hachi

Sunday, September 13, 2009

Syawal makin hampir.

September 13, 2009 0 Comments
Tinggal seminggu lagi je semua umat islam akan menyambut Syawal. Syawal ini merupakan Syawal yang pertama yang akan aku sambut bersama-sama dengan Cik Razaleigh sebagai suami isteri dengan baby yang 28 minggu dalam kandungan. Untuk kali pertamanya juga urusan zakat fitrahku beralih kepada cik suami. Di Miri, kadar yang dikenakan adalah RM6 untuk setiap tanggungan.

Tidak sabar untuk aku menunggu kepulangan cik Razaleigh pada 17hb nanti. Rindu sangat aku padanya. Untuk tahun pertama ini, kami akan balik ke Gerik dahulu. InsyaAllah raya ketiga baru balik ke kampung cik Razaleigh. Keputusan ini tidak melibatkan perang kampung siapa dulu, cik Razaleigh sendiri yang menyuarakannya dahulu. Cuma kesian juga padanya, kerana terpaksa menahan sabar untuk menyambut raya di rumah baru.

Baju raya sedondon telah siap dibeli. Nasib baik perutku masih lagi comel walaupun sudah dekat 7 bulan. Baby nak bagi peluang ibu dia pakai baju kurung lagi. Bukan apa, aku bukannya suka nak pakai baju mengandung yang labuh2 ni. Semua baju mengandung yang aku pakai sekarang dipadankan dengan seluar je.Senang sikit nak gerak.

Biskut raya pun aku beli je. Semuanya tiga set. Gerik - Keratong - Puchong. Hehehe... harap2 adalah yang datang beraya di puchong nanti. Pada yang membaca... jemput2 lah datang ke rumah aku nanti.


KATA HATI AKU: Rindu sangat ngan abang ni. Rindu nak teluk abang. Rindukan bantal empuk ibu. Hari ni cik suami nak berbuka laksa di rumah kawannya. Aku? Makan seorang je... Ingat tadi nak masak. Pastu terasa malas lah pulak. Tengah fikir lagi ni. Nak masak ke tak?
Tadi baru beli oven... ingat nak buat kek nanti. Kalau jadi aku akan post kan dalam next entry ye.

hachi

Wednesday, September 02, 2009

My Baby

September 02, 2009 0 Comments
Alhamdulillah dah pun masuk hari yang ke 12 kita semua berpuasa. Setakat ini baru sehari aku meninggalkan puasa... semuanya gara-gara rasa loya yang mengundang muntah yang teruk. Selain daripada tu, aku tetap kuat dan kekal bertenaga sepanjang hari.

Semalam, aku pergi checkup bulanan (25 wks). Berat baby dah makin bertambah. Sekarang ni dia dah 0.775 kg dan semakin aktif bergerak. Susah juga doktor nak tangkap gambar dia. Mungkin sebab tak selesa bila perut ibu dia asyik kena tekan, baby aku ni kasi kick yang paling power sampai terangkat tangan doktor sebab terkejut. Hehehe... riuh kami ketawa.

Disebabkan checkup bulan lepas tak dapat nak tgk jantinanya, doktor tu cuba sekali lagi kali ni. Heh heh heh.... Akhirnya. Aku suka sangat. Tapi buat masa ni biarlah rahsia dulu. Kasi abah ngan ibu je yang tahu dulu. (Tak sabar nak tunggu cik suami balik sebab nak mula beli barang baby).

Berat aku tak berubah, mungkin disebabkan bulan puasa. Kencing ok. Blood sugar ok. BP ok. Kedudukan uri ok. Air ketuban pun ok. Semalam baru aku tau, air ketuban tu rupa2nya hasil dari bahan kumuh@ air kencing baby. So, memang tak boleh lebih atau kurang.

Anyway, semoga anak aku ni membesar dengan sempurna dan sihat dalam kandunganku dan lahir tanpa sebarang masalah.

Tengah dok fikir nak buat detail scan tak. Tapi kalau nak buat, kat mana ye...

KATA HATI AKU: Ibu sayang sangat pada abah dan baby.


hachi

Thursday, August 27, 2009

August 27, 2009 0 Comments
Salam Ramadhan buat semua.

Semoga Allah memberi keberkatan dalam kehidupan seharian kita sepanjang bulan yang mulia ini. Alhamdulillah dah pun masuk hari ke 6 kita berpuasa. Syukurlah.. anak dalam kandungan ini faham akan ibunya. Hehehe... kena ajar dia berpuasa juga tapi anakku ini semakin aktif pula sepanjang 6 hari ini (Baby ni suka kacau ibu. Tangkap kaki dia nanti. - tiru cik suami punya ayat) Cuma sedih kerana tidak dapat menjalankan ibadah ini bersama-sama dengan suami. Kasihan dia yang kena masak juadah berbuka dan bersahur sendiri. Mujur ada teman2 serumah sebagai peneman (cik suami memang lebih pandai masak dari aku). Tidak mengapalah.. aku harus berfikiran positif. Masih banyak lagi peluang untuk kami menjalankan ibadah ini bersama-sama kerana perjalanan rumah tangga ini masih lagi panjang.. InsyaAllah.



hachi

Thursday, August 20, 2009

MIRI

August 20, 2009 0 Comments
Dah nak masuk dua minggu sejak aku balik dari Miri. Happy sangat sebab dapat jumpa cik suami kesayangan aku. Masa aku di sana, kesihatan cik Razaleigh masih belum betul2 sembuh. Badannya masih panas, batuk dan juga sakit tekak. Badannya sedikit susut.... kesian suami aku ni.

Kami tak de ke mana2 pun. Hanya habiskan masa di bilik hotel, keluar makan dan berpeluang ke rumah teman sekerjanya. Pada aku dapat menghabiskan masa berdua sudah memadai. Namun, tercapai juga hasrat ingin menonton wayang bersama. G.I.Joe menjadi wayang pertama yang kami tonton bersama buat kali yang pertama. Selain itu dapatlah juga aku tengok keadaan rumah sewa tempat tinggalnya. Lapang dada bila melihat semuanya dalam keadaan baik. Alhamdulillah, suamiku ini pandai mengurus hidupnya tanpa aku (huhuhu.. sedih juga sebab tak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri padanya).

Keadaan di sana masih berjerebu kuat. Pukul 7 pagi sudah terang benderang dan pukul 7 malam sudah gelap gelita. Kedai2 pun tutup lebih awal. Jalan pun sudah lengang seawal 7.30 malam. Huhuhu... mcm tak de life je. Padahal itulah bandar. Yang pasti, kelab ngan pub berkenjah kat sana. Kalau tak kuat iman memang boleh hanyut.

Ada beberapa gambar yang sempat aku snap yang nak aku share kan di sini:






Nak pi jalan2.


Cik Razaleigh yang dah semakin penat dan tak larat sebab demam.


Aku yg semakin demuk.


New ring from my hubby. White gold from Lazo Diamond Jewellery. Thanks abang.

Malam sebelum balik, memang mood dah lari langsung. Kesian Cik Razaleigh bila aku buat perangai. Tak sanggup rasanya nak berpisah sebab masih belum puas menghabiskan masa bersama.

Flight ke KL pukul 10 pagi. Ya Allah, lepas check in je memang tak dapat nak tahan air mata lagi. Selalunya aku yang hantar cik suami, kali ni giliran dia pulak. Bila dia lambaikan tangan... lagilah terasa sebak di dada ni. Dengar suara dia pun lagi laju air mata ni keluar. Aku benci betul perpisahan macam ni.

KATA HATI SAYA: Abang... saya rindu sangat pada abang.

Tuesday, August 04, 2009

Kehilangan

August 04, 2009 0 Comments
Alahai.. dah lama blog ni tak diupdatekan. Macam2 perkara telah berlaku - sibuk dengan kerja dan juga penyakit M yang melanda.

Aku dahulukan dengan berita sedih buat ahli keluarga dan sanak saudaraku. Pemergian Opah tersayang menyambut panggilan Ilahi pada 26 Julai 2009. Al-Fatihah untuk arwah Opah, semoga tenang rohnya dan semoga Allah merima segala amal ibadahnya. Ini kali pertama aku merasai kehilangan orang tersayang. Hati terasa terlalu sayu dan hanya air mata yang mampu mengalir bila melihat sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa terbaring kaku di tengah rumah. Mak boleh dikatakan anak yang paling rapat dengan arwah kerana rumah kami bersebelahan di kampung. Alhamdulillah, semua urusan dari memandikan jenazah, mengkafankan jenazah, mengangkat jenazah, memasukkan jenazah ke liang lahad diuruskan oleh anak dan menantu Opah. Dengan keadaanku yang berbadan dua ini, apalah sangat yang boleh aku lakukan melainkan hanya memandang dari jauh. Melihatnya sudah mendatangkan keinsafan kepada diriku. Sekali lagi aku doakan semoga roh arwah tenang bersemadi dan tergolong dikalangan orang2 yang beriman. Amin.

Monday, July 06, 2009

Membebel

July 06, 2009 2 Comments
Mesti gabra kejap bila tengok title untuk post kali ni kan....

Sebenarnya, sejak kebelakangan ini, aku semakin perasan yang cik Razaleigh, suami kesayangan aku ni semakin kuat membebel. Kalau dah mula tu.... Ya ampun.... punya lah lama dia nak berhenti. Hehehe... aku tulis post ni sebab dah panas telinga kena bebelan dia lebih dari setengah jam malam tadi. Salah aku jugaklah, mengada-ngada terlebih. Sampai panas telefon kat telinga, sudahnya aku dengar guna loudspeaker je.

Aku pulak, kalau bab lawan mulut ni memang kalah habis. Tak pandai langsung. Lagi pulak, kalau orang cakap sekali bukannya nak dengar. Kadang2 tu macam masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tabiat buruk dari kecil.

Maafkan saya ye abg. Saya tahu, walau apa pun sikap buruk saya, abang tetap sayang pada saya. Terima kasih di atas segala teguran dan nasihat abang.

KATA HATI SAYA: Kesian suami aku, kesihatannya tidak berapa baik hari ni. Badannya lemah dan cirit birit. dengar suaranya terasa lemah sangat. Pergilah klinik wahai suamiku (dia memang takut sangat kalau disuruh ke klinik). Ibu di sini sentiasa mendoakan kesejahteraan abah. Love you so much.

Wednesday, July 01, 2009

Bengkel Pemantapan Nilai Teras UM

July 01, 2009 2 Comments
Hari ni semua kakitangan kat jabatan aku kena mengikuti Bengkel Pemantapan Nilai Teras UM, anjuran jabatan aku sendiri di Hotel Equatorial Bangi. Disebabkan tak tahu jalan ke sana, aku pergi dengan menaiki van yang disediakan dari UM.

View satu sudut dari bilik seminar. Macam best je kalau dapat melepak sambil menghirup kopi panas sambil ditemani oleh Cik Razaleigh. I love you Abg.

Posing sikit sebelum sesi bermula.

Yang ni pulak... muka senang hati sebab kekenyangan selepas sarapan pagi.

Dekat pukul 10 pagi baru sesi bermula. Mentang-mentang program ni buat sendiri, suka2 je nak delayed (hahahaha). Kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Inilah hasil kerja berkumpulan aku.

Tak delah kreatif sangat kan. Aku jadi tukang touch up je (hanya warnakan bibir je.. merah sangat kan?).

Bla..Bla..Bla.. sampailah time makan. Mak ai... best giler... Dapatlah lepas gian nak makan roasted lamb (puas beb....tapi tak banyaklah. Aku masih ingat baby dalam kandungan aku ni).

Semua aktiviti tamat pukul 4.30 petang. Sesi cabutan bertuah bermula. Seingat aku, tak pernah aku dapat apa2 pun dalam "Lucky Draw" ni seumur hidup aku. Tapi disebabkan hadiah sememangnya telah disediakan untuk semua kakitangan, jadi merasalah juga. Agak2 apa yang aku dapat ye...

Mmmm.... bertuah ke? Ok lah daripada tak de langsung.

Keseluruhannya, bengkel ni cukup memuaskan... sekurang2nya ia dapat mengingatkan kembali 10 nilai2 teras UM yang telah aku lupakan. Bukannya aku pekerja yang tak baik... tapi dalam menjalani kehidupan bekerja sekian lama, kadang2 ada perkara yang kita terlepas pandang.

Sampai rumah pun dah pukul 7 lebih. Badan pun terasa penat je. Mata jangan cakaplah. Asyik nak terpejam je masa drive. Merbahaya betul. Cik Razaleigh telefon pukul 8.30 tadi nak bagitau dia ada dinner malam ni. Mungkin habis pukul 11 malam. Huhuhu... lambatlah dapat sembang ngan dia malam ni (tindu sangat kat dia sebab siang tadi tak dapat sembang). Hehehe... aku baru buat perangai ngan dia... ngada2 betul aku ni. Kalau dah jauh tu sengaja je buat perangai, buat dia susah hati je. Ampun ye abg...

KATA HATI SAYA: Sekali sekala ada program macam ni bagus juga. Hilang rasa stress. Teringat perbualan aku dengan Cik Razaleigh malam tadi... dia tak bagi aku pergi tengok TRANSFORMERS sorang2 kat panggung wayang. Siap bodek nak beli aku DVD original untuk tengok sama2. Hehehe... dia pun ada cakap nak belikan LCD TV yang besar dari tv kat rumah sekarang ni (betul ke ni abg?). Nampaknya terpaksalah aku menahan perasaan nak tengok transformers dulu (tak de lah aku mengharapkan dia belikan semua tu... TAPI kalau betul... Yaa Hooo.

Tuesday, June 30, 2009

Seminggu yang Indah

June 30, 2009 1 Comments
Dah pun sampai penghujung bulan Jun. Sudah setengah tahun berlalu. Dengan usia perkahwinan yang sudahpun hampir 7 bulan, aku bersyukur kerana Allah memberi rezeki awal kepada kami suami isteri. Alhamdulillah, baby dalam kandungan sudahpun berusia 4 bulan.

Hari ini aku nak bercerita tentang apa yang berlaku minggu lepas. Cik Razaleigh balik bercuti selama seminggu. Memang telah dirancang, aku turut mengambil cuti selama seminggu (padahal minggu ini adalah minggu Audit di UM). Tujuan utama adalah untuk balik kampung (Keratong dan Gerik).

Flight dari Miri yang sepatutnya tiba pukul 11.30 malam (jumaat), tiba lambat. Aku sampai tertidur dalam kereta menanti. Pukul 12.15 barulah Cik Razaleigh muncul. Demi Allah, aku bagaikan jatuh cinta pandang pertama sekali lagi pada suamiku ini tatkala memandang wajahnya setelah hampir dua bulan tidak bersama (cinta sangat aku pada dia). Dan macam biasa, dia tak lupa mencium kedua2 pipiku (I like very much).

********

Kami gerak ke Keratong pagi sabtu tu dan sampai dalam pukul 3.30. Cik Razaleigh kalau dapat bwak kereta memang lupa diri. Kecut perut aku. Stay kat Keratong sampai hari isnin je. Dapatlah makan ikan sungai yang abang ipar aku tangkap (+ beli), tapi hubby aku yang lebihlah. Juga durian (sedap sangat - tapi disebabkan mengandung, terpaksalah aku kurangkan kuantitinya).

Cik Razaleigh tengah tolong wat rumah.

Petang isnin tu, kami gerak nak balik Gerik pulak. Penatnya... jauh lagi. Konon2 nak cuba lalu Genting Sempah keluar ikut Batang Kali, sekali tak tau jalan... masuk KL balik ikut Gombak ke Jalan Duta.

Kelat je muka. Hahaha... sian suami aku kena drive jauh. Aku pulak jadi mem la.. duduk sebelah goyang kaki.

Nak jadi cerita, sampai R&R Rawang baru perasan, no plat kereta... hurufnya dah hilang tinggal nombor je. Masa kat highway Genting Sempah, ada kayu dari lori kat depan terbang ke arah kereta. Masa berhenti kat tepi jalan untuk periksa kereta, tak perasankan huruf tu dah hilang. Sampai Sungkai kena tahan dengan polis trafik (hehehe.. lawak giler. Ingatkan apa... rupa2nya pasal no plat). Lepas terangkan apa yang terjadi, kami lepas macam tu je. Tapi yang tak best nya, Cik Razaleigh dapat cenderamata dari polis baju biru kat Lenggong pulak. Semuanya gara2 no plat tu lah (hehehe... yang ni tak boleh nak ceritalah, nanti Cik Razaleigh merajuk ngan aku pulak).

Berehat kat Gerik sampai hari Khamis sebab hari Jumaat tu aku ada appointment dengan gynae. Alhamdulillah.. Baby sihat je. Masa doktor scan, dia tengah tidur. Sebab nak kejutkan dia, doktor tu tekan2 perut aku. Akhirnya, bangun juga dia. Suami aku ketawa je.

Hari sabtu, kami ke Celcom Center di PJ sebab nak tukar line telefon aku (Maxis ke Celcom). Ingat nak tengok transformers, sekali tiket dah sold out sampai tengah malam. Benci betul aku, dah tau tiket habis, cakap lah awal2, buat penat beratur je.

Hari ahad, mood dah lari sikit. Sedihlah nak berpisah ngan Cik Razaleigh. Flight ke Miri pukul 7 petang. Masak untuk tengah hari pun ala kadar je. Rasa nak kunci dia dalam STOR tak bagi balik. Dia belum pergi lagi, hati ni dah rasa rindu sangat.

KATA HATI SAYA: Saya bencikan perpisahan ini. Bila tengok Cik Razaleigh dari belakang rasa sayu sangat. Entah kenapa, air mata ni tak serik2 nak keluar. Rasa macam kehilangan arah je.

Kupinjam Satu Bintang

June 30, 2009 0 Comments
Kurindukan dia
Kumahu belaian manja
Ku ingin selalu di sisinya

Inikah bahagia
Inikah kasih asmara
Bernyanyilah hatiku dengan cinta

Ku tak ingin lagi berjauhan
Usah kau hampiri perpisahan
Seharusnya kau mengerti kasih
Hanya engkau di hatiku

Andai mampuku menyentuh awan
Akan kupinjamkan satu bintang
Dan ku pancar seriang gemilang
Itu kasih kewajahmu

Kuberjanji sayang
Ku menunggu dikau pulang hei...hei
Membawa cintamu yang terindah
Dengarlah kata hati

Kurindukan kasih dia
Kumahu belaian manja
Takkan kulupa cinta pertama
Cinta

Ku tak ingin lagi berjauhan
Usah kau hampiri perpisahan
Seharusnya kau mengerti kasih
Hanya engkau di hatiku

Andai mampuku menyentuh awan
Akan kupinjamkan satu bintang
Dan ku pancar seriang gemilang
Itu kasih kewajahmu

Kuberjanji sayang
Ku menunggu dikau pulang
Membawa cintamu yang terindah
Dengarlah kata hati

Dengarkanlah kata hati
Dengarkanlah bicaraku
(Dengarkanlah kata hati)

Friday, June 12, 2009

Housewife duty

June 12, 2009 0 Comments
Dah pun hari Jumaat. Yee haa... esok dah cuti. Tapi banyak kerja rumah yang nak kena buat esok. Kerja rumah? Hahaha... dah dua minggu rasanya keadaan rumah terabai. Bukan kerana malas tapi sebab badan ni tak mampu rasanya nak melaksanakan kerja-kerja itu. Sapu sampah pun tiga hari sekali, itupun bercinta betul rasanya nak pegang batang penyapu tu. Alhamdulillah, menjelang minggu 14 ni, badan pun dah semakin bertenaga, selera makan pun dah bertambah.

Antara agenda utamanya adalah:

1. Cuci baju - alamak dah penuh lah bakul baju kotor. Aku dah sakit mata memandangnya. Pagi tadi nampak macam dah nak melimpah keluar. Itu baru aku sorang. Adoi... nasib baik lah pakai machine.

2. Kemas master bedroom - syurga buat aku dan hubby. Tak sabar nak tunggu cik hubby balik minggu depan. Ye lah, baunya di dalam bilik sudah semakin hilang (hehehe.. aku betul2 rindukan dia. Rindukan bantal aku).

3. Kemas bilik study - hahaha... lepas abis exam march lepas, bilik tu mmg dalam keadaan yang tonggang langgang.

4. Cuci toilet - ini memang wajib seminggu sekali kena cuci.

5. Mop Lantai - walaupun dah sapu tapi masih rasa tak selesa bila dipijak

6. Lain2 lah - yang ni kalau nak senaraikan memang takkan abis.

Barang2 dapur pun nak kena check juga. Aku pun dah lupa bila kali terakhir dapur aku tu berasap. Tak tahan dengan bau tumis menumis ni. Kalau ada bau ni dari rumah yang lain, memang aku lari masuk menyorok dalam bilik.

Apa-apa pun.... Selamat berjuang untuk aku.

Abang: Saya Rindu dan Cinta sangat pada abang.

Tuesday, June 09, 2009

Rindu

June 09, 2009 2 Comments
Alhamdulillah... sudahpun masuk minggu ke 13 kandunganku. Rasa loya dan muntah pun sudah berkurangan walaupun waktunya sudah beralih ke waktu pagi pulak (huhuhu). Macam-macam ragam betul baby aku ni (macam abah dia juga). Aku rindu sangat pada suami yang jauh di seberang sana (tak sabar nak tunggu kepulangannya pada 19 Jun nanti). Ohhh... cepatlah masa berlalu.



bosan betul hari ahad yang lepas. Abang... rindu sangat ni.

Friday, May 29, 2009

Sesungguhnya

May 29, 2009 0 Comments
Malam tadi, sementara nak tunggu masuk waktu solat Maghrib, aku saja je tekan channel 180, then dengar lagu ni.. rasa sebak seketika. Hehehe.. layan perasaan kejap le... So pagi ni, aku saja cari dalam youtube... dapat ngan lirik sekali.



Sebenarnya hati ini cinta kepada Mu
Sebenarnya diri ini rindu kepada Mu
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa cinta masih tak hadir
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa rindu belum berbunga

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu takkan ber bunga

Ku cuba menghulurkan
Sebuah hadiah kepada Mu
Tapi mungkin kerana isinya
Tidak sempurna tiada seri

Ku cuba menyiramnya
Agar tumbuh dan berbunga
Tapi mungkin kerana airnya
Tidak sesegar telaga kauthar

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu tak akan berbunga
Jika tidak mengharap rahmat Mu
Jika tidak menagih simpati
Pada Mu ya Allah

Tuhan hadiahkanlah kasih Mu kepadaku
Tuhan kurniakanlah rinduku kepada Mu
Moga ku tahu
Syukurku adalah milikmu

Thursday, May 28, 2009

MANU kalah

May 28, 2009 0 Comments
On the nak datang opis pagi tadi... masuk satu sms yang berbunyi "Ayg.. MANU kalah".
Hahaha.. aku ketawa je, suami kesayangan aku ni memang penyokong setia Manchester United. Entah apa yang seronok sangat kat budak2 baju merah tu... Lain lah aku yang memang dah jadi penyokong setia CHELSEA ni (saja je nak panaskan hati cik Razaleigh). So dengan rasminya BARCELONA jadi JUARA UEFA Champions League untuk tahun ni. Disebabkan Chelsea kalah ngan BARCA ni masa separuh akhir dulu... secara dengan sengajanya aku menyokong BARCA (sekali lagi: saja je nak panaskan hati cik Razaleigh).

sabar ye abang, tahun depan ada lagi... kita tetap geng ye.

Wednesday, May 27, 2009

Sepi

May 27, 2009 0 Comments


Me: Sepi itu indah.

Hachi: Sepi juga menakutkan.

Me: Sebagai manusia kita tak boleh nak lari dari kesepian.

Hachi: Sudah lumrah alam.

Me: Keluarkan saya dari rasa sepi ini.

Hachi: ****



Tuesday, May 26, 2009

Baby dan Suami

May 26, 2009 3 Comments
Update baby kesayangan saya 22 May 2009.

Appointment dengan gynae dijadualkan 2.30 petang. Mujurlah tak lama kena tunggu. Dalam 3.30 petang dah sampai giliran saya. Sesi soal jawab dengan doktor pun tak lama sangat. Alhamdulillah sebab saya tak de alami masalah sangat kecuali rasa sakit kepala yang ringan dan rasa loya dan muntah (yang hanya berlaku pada waktu malam). Bab ni kesian pada hubby yang telefon berkali-kali tapi saya langsung tak dengar sebabnya telefon tak bawa masuk bilik (Towi ye abang).

Hehehe.. bercakap pasal ni nak cerita sikit lah. Riuh bilik scan tu dengan suara doktor dan nurse bila tengok baby aku yang baru 10w4d tu aktif sangat bergolek-golek bergerak dalam rahim aku. Tangan dan kaki sudah nampak walaupun jari jemarinya masih belum terbentuk dengan betul lagi. Jantung juga berdegup dengan baik. Mungkin pada appointment akan datang saya sudah boleh dengar degupan jantungnya. Dan untuk tunjuk perkembangan baby pada suami kesayangan, saya minta satu salinan scan baby pada doktor. "Ok.. kita bagi gambar yang terang sikit untuk abah dia.." kata doktor pada aku. Hehehe... baik sangat.

Tak sabar tunggu next appointment dengan gynae lagi.. sebab suami kesayangan dapat turut serta sebab dia akan bercuti. Terima kasih abang.

Suami kesayangan saya tak sihat! Mmm... kalau suruh pergi klinik memang susah (Jaga ye... nanti balik Puchong. saya tarik telinga abang tau). Bimbang juga rasa hati dengan kesihatannya. Fikir2 balik.. susah juga bila duduk berjauhan macam ni, sakit pening kena tanggung sendiri lah (kesian suami saya).

Tuesday, May 19, 2009

Lelaki kesayangan saya.

May 19, 2009 0 Comments
Siapa lelaki kesayangan saya?

Kalau sebelum kahwin dulu dah tentu saya jawab:

1. Haji Shafie: Abah terbaik saya. Tak pernah marah atau pukul saya. Tu pasal saya ni kadang2 bersikap keterlaluan (ampun ye kepada sesiapa yang berkenaan).

2. Mohd Yusof: Atuk saya. Duduk kat sebelah rumah je. Atuk yang paling rock sekali. Semua cucu dia manjakan. Masa saya kahwin, dialah yang nampak sedih sekali. Peluk saya erat sangat macam saya nak pergi jauh je.

3. Arol, Amin dan Amir: Adik-adik lelaki saya. Ketiga2nya mempunyai perwatakan yang sangat berbeza. Pening kepala.

Tapi lepas kahwin ni kalau ada orang tanya dah tentu saya akan jawab:

Mestilah Mohd Razaleigh Mohd Saleh - Lelaki pertama yang membuatkan hati saya terbuka untuk mendirikan rumah tangga. Terima kasih abang kerana muncul dalam hidup saya. Bertemu, bercinta, berkahwin dengan abang merupakan detik yang paling bahagia dalam hidup saya. Saya sedar kita perlu tempuhi banyak suka duka dalam melayari perkahwinan ini tapi percayalah.... saya sayang bangat sama kamu abg.

Friday, May 15, 2009

Aku rindu

May 15, 2009 0 Comments
Sumpah.. Demi Allah.....

Aku terlalu rindukannya.
Hanya suaranya yang mengucapkan kata2 rindu melalui telefon menjadi pengubatkan hatiku dikala rindu yang semakin memuncak ini.

Aku rindu untuk baring disebelah berbantalkan lengannya.
Aku rindu untuk melihat telatah manjanya.
Aku rindu untuk berperang mulut dengannya.
Aku rindu untuk melihat aksinya di dapur.
Aku rindu untuk mengusiknya ketika dia sedang lena tidur.
Aku benar2 rindu padanya.... SUAMIKU.

Monday, May 11, 2009

My baby is 9 weeks.

May 11, 2009 0 Comments
Tinggal 3 minggu lagi untuk aku harungi trimester I yang penuh dugaan ini. Weekend yang baru lepas hanya dihabiskan dirumah saja. Tak de mood nak keluar langsung. Tekak pulak asyik loya je. Huhuhu.... aku kena sabar demi baby kesayanganku ini. Mungkin sebab asyik berbaring sahaja membuatkan aku terasa seperti hendak pitam bila berdiri. Selera makan langsung hilang. Tapi disebabkan baby ku ini, aku gagahkan juga diri untuk menelan makanan. Terima kasih kepada suami kesayangan yang kerap menelefon mengingatkan aku agar jangan lupa makan. I love you so much abang.

"Ya Allah, peliharalah anakku selama berada di dalam perutku dan sihatkanlah dia. Engkaulah yang menyembuhkan, tiada penyembuhan lain selain daripada penyembuhanMu, penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.

Ya Allah, rupakanlah atau bentukkanlah dia yang ada diperutku dengan rupa yang baik, dan tetapkanlah ke dalam hatinya iman kepada Engkau dan RasulMu.

Ya Allah, jadikanlah dia sihat dan sempurna, berakal dan pandai serta alim dan beramal.

Ya Allah, panjangkanlah umurnya, sihatkanlah badannya dan baikkanlah akhlaknya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan hadith dengan berkat Nabi Muhammad SAW dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam."
AMIN.

Dan malam tadi buat kali keduanya aku muntah. Ya Allah, sakitnya tekak menahan pedih. Tambahan pulak perut kosong. Ye lah, hanya air kosong saja yang aku minum selepas pukul 7 mlm tadi. Harap2 tak de apa2 yang terjadi pada baby kesayanganku ini. Badan pun dah lembik... tak sedar pukul berapa aku lelapkan mata.

Friday, May 08, 2009

Pelupa?

May 08, 2009 1 Comments
Sejak kebelakangan ni penyakit "pelupa" ni dah semakin menjadi. Aku ada dengar yang orang pregnant ni akan jadi mudah lupa bila kandungannya semakin membesar tetapi bukanlah di awal2 kehamilan ni... Tolong!!! sebabnya kadang2 ia semakin meyusahkan aku.

Kes 1
Terlupa samada aku dah kuncikan grill pintu rumah bila keluar kerja atau belum (Padahalnya dah berkunci siap dengan 2 padlock luar dan dalam lagi). Dalam minggu ni je dah dua kali. Bila dah turun sampai bawah baru lah perkara ni bermain dalam kepala aku. Adoi mak!!! penatnya nak naik balik ke tingkat 5, dah lah rumah aku ni tak de lif. Padan muka... nak sangat beli rumah tinggi2. Bercinta betul nak naik atas balik. Kalau sebelum ni laju je aku lari naik balik. Tapi disebabkan baby kesayanganku ini... slow2 je aku naik balik. Penat giler buat kerja dua kali. Bukan apa, bimbang juga nak tinggalkan rumah macam tu juga. Buatnya aku tak kunci... boleh kosong rumah... Kes orang pecahkan padlock rumah masa aku pergi kerja sebelum ni pun menakutkan aku.

Kes 2
Terlupa nak tutup lampu dan aircond bilik kat office. Ha ha ha.... memang aku tak turn off pun. Macam mana tah boleh lupa. Rasa2 macam dah tutup. Esok paginya, pensyarah kat office tanya aku. Tepuk kepala aku.... sorry lah. Perkara ni pun dua kali berlaku minggu ni. Yang kali keduanya aku teringat masa on the way nak balik. Cepat2 aku telefon member yang tak balik lagi tolong tengok kan. "Mak tolong ila... dah tahap kritikal ni".

Ada banyak lagi sebenarnya, kadang2 benda yang aku nak buat atau nak ambil pun boleh jadi lupa. Kena ambil masa nak ingat balik. Huhuhu...penat woo nak ingat balik. Lepas ni kena tulis lah apa yang aku nak buat agar tak lupa lagi. Harap2 penyakit ni tak berterusan....

Thursday, May 07, 2009

Si Dia Comel! Part 1

May 07, 2009 0 Comments
Hehehe.. aku baru je dapat ni. Sajer nak kongsi tentang suami kesayangan aku ni. Aku sengaja buat dua part sebab suka2.

Ada beberapa fakta menarik pada aku utk dikongsikan mengenai si dia. Pada sesiapa yg tak berapa nak berkenan utk baca, sila jangan teruskan pembacaan. Sebab anda akan muntah hijau sebab tak sanggup baca ayat2 menjelikkan ini. Terima Kasih.

+ Si Dia comel bila cium pipi ku sambil cakap "abang sayang ayang" atau "love you, ayang".
+ Si Dia comel bila baring dan berguling ke arah ku sambil merengek manja "ayang, abang demam" sambil bedik-bedikkan mata minta dibelai. Comel betullah suami aku ni.
+ Si Dia comel bila tiba-tiba romantik bila bangun dari tidur dan berkata "ayang comel sangat bila bangun dari tidur". Kata2 ni lah yang buatkan aku bahagia dan bersemangat sepanjang hari.
+ Si Dia comel sangat bila khusyuk sangat memasak kat dapur untuk kami di dapur. Hehehe bertuahnya aku dapat suami pandai masak ni. Sedap sangat. Huhuhu rindu nak abang suapkan makan.
+ Si Dia comel bila mengadu kat aku "ayang, potonglah kuku abang ni... dah panjang lah" Hehehe.. bermakna sangat bila dia suruh aku buat benda2 kecil macam ni. Terasa diperlukan sangat.

Hehehe.. tunggu untuk next part ye....

Tuesday, May 05, 2009

Dugaan

May 05, 2009 0 Comments
Salam hormat sebagai pembuka bicara.

Alhamdulillah sudah pun 8 minggu usia kandunganku. Baru mula merasai keadaan mabuk2 ini. Terasa siksanya bila menghadapi situasi bersendirian. Aku hanya boleh mengadu pada suami yang jauh di seberang sana. Ditambah pula dengan emosi yang tidak menentu. Kasihan suamiku ini bila sering saja menjadi mangsa untuk aku melepaskan kemarahan. Pening kepalanya disebabkan aku. Ampunkan saya ye abang.Arghhh... rindunya pada abang. Rindu nak teluk abang. Hehehehe

Tuesday, April 28, 2009

Pregnant

April 28, 2009 3 Comments
Hahaha.. pening kepala aku nak cari template yang betul2 kena ngan citarasa aku. In the end... ini lah. Hopefully, you guys tak jemu tengok. Apa yang nak diceritakan yek... Alhamdulillah, syukur pada Allah yang maha Esa... aku dah pregnant 7 minggu. Hari tu dah scan masa 6 minggu 4 hari... rasa nak luruh air mata bila dapat tengok degup jantung baby (skrg ni masih lagi embrio). Ukurannya 6.4 mm panjang. Next appointment dengan gynae 22 May 2009. Tak sabar nak tengok perkembangannya.

Tudung Si Comel

tudung sekolah